BADAL HAJI

APAKAH ITU BADAL HAJI?

Badal adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud ganti atau menggantikan.

Badal Haji / Upah haji bermaksud mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi melaksanakan ibadat haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua atau meninggal dunia sedangkan ia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadat tersebut ketika masih hidup.

Syarat-syarat wajib bagi mengerjakan haji terbahagi kepada lima, antaranya:

i. Islam
ii. Baligh
iii. Berakal
iv. Merdeka
v. Berkemampuan

Oleh itu, sesiapa sahaja yang memenuhi kelima-lima syarat wajib haji ini akan dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji. Bagi mereka yang tidak dapat memenuhi mana-mana daripada syarat-syarat ini, kewajipan haji akan dilepaskan daripada mereka sehingga mereka dapat memenuhi semua syarat tersebut. 

Jika seseorang itu berkemampuan dan memenuhi syarat untuk menunaikan haji namun tidak sempat atau tidak mampu disebabkan keuzuran untuk menunaikannya, maka wajib bagi ahli keluarga atau warisnya untuk mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa seseorang itu masih hidup atau setelah meninggal dunia.

ADAKAH WAJIB MENGERJAKAN BADAL HAJI BAGI AHLI KELUARGA YANG TELAH MENINGGAL?

Menjalankan ibadah haji merupakan salah satu dari lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim yang memiliki kemampuan, sekurang-kurangnya satu kali sepanjang hidup.

Merujuk di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/176-177:

إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون.

Maksudnya: Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut. 

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.” (Riwayat al-Bukhari, 7315)

 

Mereka yang berkemampuan secara langsung adalah DIWAJIBKAN haji baginya manakala, bagi mereka yang berkemampuan secara tidak langsung adalah DIHARUSKAN untuk melakukan upah haji.

PERSOALAN UPAH/BADAL HAJI

Hukum melaksanakannya adalah harus. Rasulullah menyamakan Haji sebagai hutang dengan Allah SWT. Jadi, sebagai waris sebaiknya kita bantu arwah untuk melangsaikan hutang tersebut.

Lebih afdhal, dengan syarat waris tersebut sudah melaksanakan Haji untuk dirinya sendiri. Jika masih belum laksanakan Haji untuk diri sendiri, waris boleh mengupah orang lain seperti melalui agensi umrah yang berlesen.

Orang yang mengerjakannya dapat pahala membantu dalam perkara kebajikan. Orang yang mati itu pula gugur kewajipan.